Friday 13 September 2013

Sinar Jumaat: Ehsan Dalam Bermuamalat

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Allah swt telah memerintahkan supaya setiap orang berlaku adil dan berbuat baik. Adil adalah merupakan punca keselamatan. Dalam perniagaan, adil adalah penyelamat modal. Adapun berlaku baik adalah penyebab kebahagiaan dan keuntungan. Ini adalah keuntungan dalam perniagaan. 

Bukanlah orang yang berakal, apabila seseorang itu merasa puas dengan terselamatnya modal mereka dalam melakukan muamalat di dunia ini. Demikian itu pulalah dengan bermuamalat untuk akhirat.

Bagi seseorang yang mempunyai pegangan agama, tidak sepatutnya mereka merasa cukup dengan melaksanakan keadilan dan menjauhi penganiayaan, sedangkan amalan-amalan baik yang lain ditinggalkan begitu sahaja. 

Allah swt telah berfirman:

Ertinya: 
" Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang melimpah-limpah). "
                                                                               (Al-Qasas: 77)

Juga firmanNya:

Ertinya:
" Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan. "
                                                                            (An-Nahl: 90)

Juga firman Allah swt:
" Sesungguhnya rahmat  Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. "
                                                                                                      (Al-A'raf: 56)

Perlu diketahui bahawa seseorang yang bermuamalat itu akan mencapai peringkat ehsan (melakukan kebaikan) dengan melaksanakan salah satu dari  enam perkara ini:



Pertama: Dalam taktik dan cara. Perkara ini sebaiknya tidak perlu dilakukan dalam beberapa perkara yang pada adat atau kebiasaanya tidak perlu melakukan sedemikian. Sebenarnya perbuatan itu pada asalnya memang diizinkan, sebab berniaga itu pada hakikatnya adalah untuk mencari keuntungan, dan untuk memperolehi keuntungan, taktik dan cara ini amat diperlukan.

Tetapi hendaklah berhati-hati agar tidak hanya menumpukan kepada keuntungan yang banyak sahaja. Seseorang yang merasa sudah puas dengan sedikit keuntungan, maka pastilah banyak muamalatnya, barangannya habis dijual dan dengan demikian orang ramai akan selalu berurusan dengannya dan berterusan membeli barangan darinya. Dengan itu keuntungannya akan berlipat kali ganda dan rezekinya mendapat keberkatan.

Kedua: Dalam membuat penilaian. Seseorang yang membeli sesuatu makanan dari seseorang yang membeli sesuatu makanan dari seseorang yang lemah (tidak kuat kedudukan ekonominya) atau dari orang miskin (fakir), hendaklah ia membuat penilaian yang sebaik-baiknya serta mempermudahkan. Lebih baik lagi  jika ia memberi kelebihan dan memberikan jasa baik kepadanya. Kelakuan ini termasuk dalam sabda Rasulullah saw iaitu:

Ertinya:
" Allah merahmati kemudahan dalam jualan dan kemudahan dalam belian. "
                                                                         (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

Adapun terhadap seseorang yang kaya, yakni membeli sesuatu dari orang yang berada, maka perlakuan di atas itu tidaklah digalakkan, sebab ianya termasuk di dalam mensia-siakan harta dan tidak mendapat pahala serta tidak dianggap murah hati. Orang-orang salaf dahulu sentiasa cermat dalam melakukan pembelian serta benar-benar memerhatikan perkara itu, padahal mereka itu memiliki harta yang banyak. Seseorang dari mereka pernah ditanya kenapa mereka melakukan demikian, lalu ia menjawab; " Orang memberi itu bermaksud untuk melimpahkan keutamaan, tetapi orang yang tertipu ialah orang yang kurang akalnya. "



Ketiga: Dalam menjelaskan harga serta hutang yang lain-lain, kadang-kadang disertai dengan ehsan dan jasa baik dan kadang-kadang dengan pembayaran tunai semuanya atau dengan separuh daripadanya dan kadang-kadang dengan memberikan waktu atau menunda pembayaran itu, bahkan kadang-kadang boleh sahaja dengan kebaikan sikapnya untuk meminta harga yang  sepatutnya atau mata wang yang sah. Semua itu diperkenankan dan dianjurkan.

Dalam sebuah hadis disebutkan:

Ertinya:
" Barangsiapa meminjamkan sedinar untuk waktu yang tertentu, maka ia menerima pahala sedekah pada setiap hari hingga sampai waktu ditentukan tadi. Apabila waktu itu telah tiba dan diberinya waktu lagi sesudah itu, maka ia menerima pahala sedekah, setiap hari sebanyak hutang tadi. "
                                                                                                       (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

Hadis di atas bukanlah suatu kawajipan, tetapi sebagai galakan untuk dilaksanakan.

Pernah Nabi Muhammad saw menyaksikan seseorang yang membuat pinjaman dari orang lain dan hendak membayarnya, lalu Baginda saw mengisyaratkan dengan tangannya yang mulia itu kepada yang berhutang tadi dengan maksud supaya memberikan kelebihan separuh dari jumlah hutangnya dan orang itu melaksanakanya. Kepada si pemiutang Baginda saw menyuruh ia menerima atau memulangkannya kembali.

Perbuatan ini dilakukan dengan hati yag ikhlas dan tidak boleh dijadikan adat sehingga ianya menjadi riba yang samar-samar.

Keempat: Dalam menunaikan hutang. Seseorang yang mudah membayar hutangnya adalah termasuk dalam golongan orang yang baik. Caranya ialah ia (penghutang) itu pergi ke tempat oang yang dihutang(pemiutang) yakni yang berhak pada hartanya itu dan janganlah si pemiutang yang dipaksa untuk menagih darinya dan bersusah payah pergi ke rumahnya. Dalam perkara ini Rasulullah saw bersabda:

Ertinya:
" Yang terbaik dari kamu semua ialah yang terbaik cara membayar hutangnya. "
                                                                 (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, seseorang yang berhutang itu apabila telah berupaya membayar hutangnya, hendaklah segera membayarnya, sekalipun belum sampai waktu yang dijanjikan. Sebaliknya apabila ia tidak berupaya dan belum berkemampuan untuk membayarnya, hendaklah ia berniat untuk membayarnya apabila ia telah berkemampuan.

Demikian pula andai kata si pemiutang itu mengaih hutangnya dan berkata kepadanya dengan perkataan yang kasar atau tidak wajar, hendaklah ia menahannya dengan sabar, serta menghadapinya dengan lemah lembut. Perkara yang sedemikian ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yakni sewaktu seseorang yang memiliki harta mengulag-ulanng kata-katanya, para sahabat lainnya akhirnya mengetahui masalah yang dihadapi olehnya. Kemudian beberapa orang sahabat hendak bertindak terhadap orang yang menagih hutang dari Baginda, tetapi Baginda saw bersabda:

Ertinya:
" Biarkan sahajalah ia, sebab orang yang mempunyai hak itu berhak pula untuk berkata-kata. "
                                                                                         (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Apabila timbul pertentangan antara pemiutang dan penghutang, maka hukuman pembelaan hendaklah cenderung kepada penghutang kerana sifat yang sedemikian termasuk dalam sifat-sifat mulia, jika penghutang itu benar-benar belum berkemampuan atau ada halangan baginya untuk membayar, sebab dalam keadaan demikian ia bukan sengaja tidak membayarnya, tetapi kerana kesukaran hidup.




Kelima: Hendaklah seseorang itu redha menerima pembatalan jual-beli dari  orang yang meminta supaya jual beli itu dibatalkan, sebab orang yang meminta demikian itu mungkin merasa kerugian dari jual beli yang telah dilakukanya tadi, atau jual belinya itu memudaratkan. Jadi tidak patutlah jikalau seseorang itu hanya ingin memperolehi keuntungan untuk dirinya sahaja, tetapi membawa kemudaratan untuk orang lain atau sesama saudaranya. Dalam sebuah hadis di sebutkan:

Ertinya:
" Barangsiapa yang menerima pembatalan daripada seseorang yang merasa menyesal dari jual belinya, maka Allah akan menyelamatkannya dari tergelincir pada hari kiamat. "
                                                             (diriwayatkan oleh Abu Daud dan Hakim)

Keenam: Hendaklah dalam bermuamalat dengan golongan fakir miskin, diniatkan untuk memberi kelonggaran, yakni ketika perjanjian bahawa pembayaran akan dibuat kemudian, lalu hatinya berazam untuk tidak menagihnya jika mereka masih belum berkemampuan untuk mambayarnya. Di antara orang-orang salaf dahulu ramai sekali peniaga yang sentiasa berkata kepada kaum fakir miskin, supaya mengambil apa-apa sahaja yang diperlukan.

Kepada mereka ini dikatakan (sekiranya sudah mampu membayarnya) silalah berikan harga yang telah diambil itu. Tetapi andaikata belum mampu, amaka apa-apa yang telah dibawanya itu dianggap sebagai suatu yang halal atau sedekah yang telah diberikan padanya. Beginilah berbagai-bagai jalan dan cara perniagaan orang-orang salaf. Pendeknya berniaga adalah merupakan ujian bagi seseorang, sebab disitulah diuji seseorang dalam perkara agamanya serta kewarakan atau ketakwaannya kepad Allah swt.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.