Wednesday, 29 May 2013

Kembara Ilmu PETROSAINS & AQUARIA 2013

Tadika Islam Muhammad Al Fateh telah menjalankan program Kembara Ilmu dengan mengadakan lawatan sambil belajar di Petrosains dan Aquaria di KLCC, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013, Rabu. Matlamat program ialah  menggalakkan pembelajaran luar kelas dengan melihat, mendengar, merasa dan "menghidu sendiri" serta menyaksikan perkara-perkara yang menarik dan mengkagumkan aspek-aspeks sains.

Seramai 75 pelajar berumur 5 tahun dan 6 tahun mengikuti program tersebut dan diringi seramai 12 orang guru. Bertolak dari sekolah pada pukul 8.35 pagi dengan dua buah bas. Di Petrosains pelajar bertuah mengunjungi pameran Sultan of Science yan berlangsung daripada 15 Disember 2012 - 15 Jun 2013. Ia mempamerkan kemajuan dunia sains Islam pada Zaman Kegemilangan Islam (700 - 1700 Masihi). Selepas itu para pelajar ke pameran lain di Petrosains sebelum ke Aquaria selapas makan tengah hari di tepi tasik KLCC.























Friday, 24 May 2013

Sinar Jumaat: Memperolehi Pahala

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Ini dapat dilakukan dengan cara menghadiri jenazah, menziarahi orang sakit, solat secara berjemaah, kerana di dalam perkara berjemaah dalam solat itu sebenarnya tidak ada keringanan untuk meninggalkannya.

Kecuali jika takut kerana adanya suatu bahaya yang nyata, yang imbangannya sesuai dengan kehilangan keutamaan jemaah atau lebih dari itu. Ini sangat jarang terjadi.

Jalan yang lain untuk memperolehi pahala ialah dengan menghadiri malis-majlis atau undangan-undangan dan lain-lain sebab dalam melakukan perkara ini ada ganjaran pahalanya, kerana ia memberi kegembiraan dalam hati sesama Muslim.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

Thursday, 16 May 2013

Sinar Jumaat: Syarat-syarat Khusyuk dan Menghadirkan Hati (dalam solat)

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Kita tentu maklum bahawa dalil yang menyebutkan perkara di atas itu amat banyak sekali, di antaranya ialah firman Alllah swt:

Ertinya:
 "...................dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku."
                                                                         (Taha: 14)

Melihat secara zahir perintah di atas itu adalah merupakan kewajipan. Kelekaan dan kelalaian adalah lawan dari mengingati. Jadi kalau seseorang itu lalai dalam solatnya, maka bagaimanakah ia boleh dinamakan seorang yang mendirikan solat yang sentiasa ingat kepada Allah.

Allah swt berfirman:

Ertinya:
 "Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang lalai."
                                                                     (Al-A'raf:205)

Ini adalah merupakan larangan dan melihat dari zahir ayat, larangan adalah untuk menunjukkan sesuatu keharaman.

Demikian pula Allah berfirman:

Ertinya:
 ".................hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan."
                                                                                           (An-Nisa': 43)

Ayat di atas adalah sebagai dalil yang melarang orang-orang yang sedang mabuk dari mendirikan solat. Tetapi ayat itu juga dapat digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was serta mereka yang asyik memikirkan perkara-perkara keduniaan.
 

 Selanjutnya Rasulullah saw juga bersabda:

Ertinya:
 "Sesungguhnya solat itu adalah ketenangan dan merendahkan diri."
                                                                         (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Nasa'i)

Hadith itu diiringi dengan alif dan lam dan perkataan innama  yang maksudnya adalah untuk menguatkan serta mengukuhkan.

Baginda saw bersabda pula:

Ertinya:
"Barangsiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan buruk dan kemungkaran, maka orang itu tidaklah ditambahkan oleh Allah melainkan jauh (dari kebenaran; penyunting)."
                                                                          (Diriwayatkan oleh Thabrani)

Jadi jelaslah bahawa solat seseorang yang leka dan lalai itu tidak mungkin dapat mencegah dirinya dari kejahatan dan kemungkaran.

Sabda Rasulullah saw iaitu:

Ertinya:  
"Ramai orang berpuasa tetapi mereka tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga dan ramai orang yang mendirikan solat, tetapi ia tidak memperolihi apa-apa dari solatnya itu melainkan penat lelah semata-mata."
                                                                                 (Diriwayatkan oleh Nasa'i dan Ibnu Majah)

Yang dimaksudkan dari hadith di atas ialah orang yang lalai dan leka dalam solatnya.

Juga Baginda saw bersabda:

Ertinya:
"Tidaklah seseorang hamba itu diberi pahala dalam solatnya melainkan apa-apa yang dihadiri oleh akalnya."
                                                                                        (Diriwayatkan oleh Abu Mansur Ad Dailami)



Dengan ini nyata dan jelas bahawa seseorang yang bersolat itu bermunajat kepada Tuhannya swt sebagaimana diterangkan dalam berbagai hadith. Kita tentu mengerti bahawa bermunajat dalam keadaan lalai, bukanlah munajat namanya.

Perhatikanlah, andaikata ada orang yang bersumpah dan berkata: "Aku akan berterima kasih pada si Anu itu dan akan aku puji jasanya dan aku akan minta daripadanya sesuatu yang aku perlukan." Kemudian setelah itu ia tidur, tiba-tiba ia mengigau dan mengucapkan seperti kata-kata yang telah diucapkannya tadi, tentu sahaja itu tidaklah dianggap sebagai ucapannya.

Juga andaikata ia mengucapkannya di suatu tempat yang gelap gelita, sekalipun orang dimaksudkannya berada di situ, tetapi ia sendiri tidak mengetahui kehadirannya dan tidak dapat melihat wajah orang yang berbicara dengannya, maka ucapannya tidak dapat dipakai dan sia-sia sahaja, sebab percakapannya tadi bukanlah ditujukan kepada orang yang dimaksudkan.

Jadi selama apa yang dimaksudkan itu belum dihadirkan ke dalam sanubarinya tentulah ia belum dapat di anggap sempurna.  Selain itu, andaikata orang yang mengucapkannya tadi dan yang di ajak berbicara itu ada, dan di waktu siang yang terang benderang, tetapi oleh kerana di waktu itu ia sedang memikirkan perkara yang lain, sehingga fikirannya itu bertumpu kepada apa yang sedang difikirkannya, sehingga ia tidak bermaksud untuk berbicara dengan orang yang berada di hadapannya, maka itu pun tidak dapat dianggap sebagai sumpah. Jadi sia-sialah apa-apa yang dikatakannya itu.



Rasanya sudah tidak dapat disangsikan lagi bahawa tujuan daripada bacaan solat serta zikir-zikirnya ialah untuk memanjatkan puji-pujian, merendahkan diri dan berdoa, dan yang diajaknya berbicara itu adalah Allah swt. Sekiranya hati tertutup kerana kelalaian, maka dihalang ia dari Zat Allah swt, maka tidak mungkin ia dapat menyaksikan atau melihat dengan mata hatinya.

Bahkan kerana kelalaiannya terhadap orang yang diajak berbicara itu, lidahnya hanyalah bergerak seperti sudah menjadi adat kebiasaan sahaja. Perkataannya hanyalah sekadar di bibir sahaja dan tidak mendalam hingga ke dalam kalbu.

Alangkah jauh maksud solat kalau dilaksanakan sebagaimana di atas itu, padahal solat itu diperintahkan untuk menjernihkan hati, memperbaharui ingatan ke hadapan Allah swt dan untuk meresapkan ikatan keimanan ke dalam jiwa. Pendeknya kehadiran hati adalah roh atau jiwa solat. Maka barangsiapa yang menginsafi rahsia solat, tentu ia tahu bahawa kelalaian dan kelekaan itu adalah kesalahan dan bertentangan dengan konsep solat itu sendiri.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.

Friday, 10 May 2013

Sinar Jumaat: Tawaduknya Rasulullah saw

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Rasulullah saw adalah seorang yang merendahkan diri, sekalipun tinggi martabatnya. Baginda saw menunggang himar (keldai) dengan berlapikkan sehelai kain dan kadang-kadang dengan membawa orang lain. Baginda saw suka menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan raja-raja., menjahit kasutnya dan menampal bajunya.

Sahabatnya tidak berdiri untuk menghormatinya. Kerana mereka telah mengetahui bahawa Baginda saw tidak suka kepada perkara yang sedemikian itu. Baginda saw apabila melalui tempat kanak-kanak, Baginda akan memberikan salam. Jika sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya, Baginda bercampur gaul dengan mereka, seolah-olah Baginda saw seperti seorang di antara sahabat-sahabatnya, sehingga jika ada orang asing datang, ia tidak dapat mengenali Rasulullah saw atau membezakan Baginda dengan sahabat-sahabatnya. Oleh sebab itu mereka terpaksa bertanya siapakah di antara mereka itu Rasulullah?


Apabila Rasulullah saw datang di sesuatu majlis pertemuan, jika orang-orang di situ mempercakapkan berkenaan dengan perkara akhirat, Baginda saw akan menyertainya dan jika mereka bercakap-cakap berkenaan perkara makan minum, Baginda saw juga mengikut perbicaraan itu, sebagai tanda tawaduknya Baginda.

Para sahabat kadang-kadang menyanyikan syair di hadapan Baginda saw yang mulia, kadang-kadang mereka mempercakapkan perkara-perkara yang berhubung dengan zaman Jahiliah. Jika mereka ketawa, Baginda saw ikut tersenyum. Baginda tidak pernah mencegah sahabat-sahabatnya itu baik dalam percakapan, perbuatan dan lain-lain, kecuali dalam perkara-perkara yang haram.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

Friday, 3 May 2013

Sinar Jumaat: Kehalusan perangai Rasulullah saw

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Rasulullah adalah seorang yang lemah lembut perangainya, halus perasaannya baik zahir mahupun batin. Pada wajahnya diketahui kemarahan serta kegembiraannya. Sekalipun demikian, Baginda saw tidak pernah sama sekali menyatakan kepada sesiapa pun tentang apa yang tidak disukainya.

Pada suatu ketika ada seorang arab badwi terkencing di hadapan Baginda saw di masjid. Para sahabat tidak sabar dan hendak bertindak terhadap orang itu, tetapi tiba-tiba Rasulullah saw bersabda:

Ertinya:
"Jangan diputuskan kencingnya (jangan disuruh berhenti yakni biarkan biar diselesaikan hingga habis)."

Selanjutnya setelah orang itu selesai kencing Baginda saw  bersabda kepadanya:

Ertinya:
" Masjid ini tidak patut untuk digunakan berbuat demikian."
                                                (Diriwayatkan oleh bukhari dan Muslim)
 






Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.