Friday, 10 May 2013

Sinar Jumaat: Tawaduknya Rasulullah saw

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Rasulullah saw adalah seorang yang merendahkan diri, sekalipun tinggi martabatnya. Baginda saw menunggang himar (keldai) dengan berlapikkan sehelai kain dan kadang-kadang dengan membawa orang lain. Baginda saw suka menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan raja-raja., menjahit kasutnya dan menampal bajunya.

Sahabatnya tidak berdiri untuk menghormatinya. Kerana mereka telah mengetahui bahawa Baginda saw tidak suka kepada perkara yang sedemikian itu. Baginda saw apabila melalui tempat kanak-kanak, Baginda akan memberikan salam. Jika sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya, Baginda bercampur gaul dengan mereka, seolah-olah Baginda saw seperti seorang di antara sahabat-sahabatnya, sehingga jika ada orang asing datang, ia tidak dapat mengenali Rasulullah saw atau membezakan Baginda dengan sahabat-sahabatnya. Oleh sebab itu mereka terpaksa bertanya siapakah di antara mereka itu Rasulullah?


Apabila Rasulullah saw datang di sesuatu majlis pertemuan, jika orang-orang di situ mempercakapkan berkenaan dengan perkara akhirat, Baginda saw akan menyertainya dan jika mereka bercakap-cakap berkenaan perkara makan minum, Baginda saw juga mengikut perbicaraan itu, sebagai tanda tawaduknya Baginda.

Para sahabat kadang-kadang menyanyikan syair di hadapan Baginda saw yang mulia, kadang-kadang mereka mempercakapkan perkara-perkara yang berhubung dengan zaman Jahiliah. Jika mereka ketawa, Baginda saw ikut tersenyum. Baginda tidak pernah mencegah sahabat-sahabatnya itu baik dalam percakapan, perbuatan dan lain-lain, kecuali dalam perkara-perkara yang haram.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

No comments:

Post a Comment