Thursday, 18 July 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Kita mesti mengatakan bahawa pemimpin yang termulia sesudah Rasulullah saw ialah Abu Bakar a.s. Siddiq r.a. dan bahawasanya Allah swt telah memuliakan agama ini dengannya, mengunggulkannya dari orang-orang yang murtad. Abu Bakar r.a. diakui oleh seluruh umat Islam dalam kepimpinan, sebagaimana Rasulullah saw sendiri mengangkatnya untuk menjadi imam dalam solat di waktu Baginda saw sakit. Kaum muslimin mengangkatnya sebagai khalifah atau pengganti Rasulullah saw kemudian Umar bin Khattab r.a. dan selepasnya Othman bib Affan r.a.

Sesungguhnya oarang-orang yang membunuh Othman r.a. itu adalah atas dasar penganiayaan dan derhaka. Setelah kewafatannya, maka Ali bin Abu Talib r.a. yang menjadi khalifah. Keempat-empat khalifah itu merupakan imam-imam sepeninggalan Rasulullah saw dan kekhalifahan sahabat-sahabat Baginda adalah merupakan pengganti kenabian. Kita mencintai sahabat-sahabat Rasulullah saw yang lain-lain dan tidak perlu kita mengungkit-ungkit perselisihan yang pernah timbul antara mereka.

Selain itu segala perselisihan yang berlaku di antara kita wajiblah kita kembalikan dan kita selidik kepada kitabullah Al-Quran , sunnah Rasulullah saw juga ijmak atau persepakatan kaum muslimin dan apa-apa yang seerti dengannya. Kita tidak boleh mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kita yakni perkara-perkara yang tidak diizinkan kepada kita untuk mengadakannya, juga tidak boleh menggunakan nama Allah terhadap sesuatu yang kita tidak ketahui.

Kita juga mengetahui bahawa bersedekah untuk kaum muslimin yang telah meninggal dunia ataupun mendoakan kepada mereka itu membawa manfaat dan bahawasanya Allah akan memberikan kemanfaatan itu kepada mereka dengan sebab sedekah atau doa yang kita lakukan itu. Kita mengatakan bahawa orang-orang yang saleh memperolehi kelebihan daripada Allah swt dengan tanda-tanda yang diperlihatkan olehNya kepada mereka itu.
 
Imam Ahmad berkata: "Segala kebaikan itu sampai kepada orang yang telah mati, dengan berdasarkan beberapa nas yang ada mengenai perkara itu, juga dengan sebab seluruh muslimin di semua negeri telah bersepakat mengenainya. Mereka itu membacakan sesuatu lalu mereka hadiahkan kepada saudara-saudara mereka yang telah meninggal dunia. Dan tidak ada di kalangan mereka mengingkarinya, maka ini bolehlah dianggap sebagai ijmak."

(Sekian sahaja perbincangan tajuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah)

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

Thursday, 11 July 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Maka Allah mengadakan makhluk sesudah itu, sebagai tanda dan bukti kekuasaanNya, juga untuk merealisasikan segala sesuatu yang telah dikehendaki olehNya, juga kerana sebagai kebenaran kalimatNya sejak azali lagi. Segala sesuatu itu dicipta, bukan kerana Allah memerlukan atau berhajat kepadanya.

Dia memberikan keutamaan kepada makhluk dengan menciptanya serta membebaninya, ini bukanlah sebab Allah berkewajipan melakukan sedemikian. Allah sentiasa mengurniakan nikmat dan kebaikan dan bukan kewajipan Allah untuk berbuat demikian itu. Bagi Allah adalah keutamaan dan kebaikan, nikmat dan kurnia.

Allah swt memberi pahala kepada hamba-hambaNya yang mukmin sebab kebaikan yang dilakukannya dan pemberian pahala ini adalah atas dasar kemurahan, kemuliaan dan telah dijanjikan, bukan sekali-kali kerana dasar Allah berkewajipan melakukan perkara itu, sebab tidak ada seorang pun yang dapat mewajibkan sesuatu padaNya untuk dilakukan dan tidak tergambar sedikit pun suatu penganiayaan yang datang daripadaNya.
Demikian pula tidak ada suatu hak yang merupakan kewajipan untukNya terhadap seseorang, sebab hakNya untuk ditaati adalah merupakan kewajipan atas seluruh makhluk. Kewajipan ini disampaikan dengan penjelasan para nabiNya a.s. bukan hanya sekadar dengan kemahuan akal fikiran. Untuk urusan ini, Allah mengutuskan para rasul dan diberikan bukti kebenaran mereka dengan berbagai mukjizat yang nyata.

 Para rasul itulah yang menyampaikan kepada umatnya apa-apa yag menjadi perintah Allah, laranganNya, janji serta ancamanNya. Oleh kerana itu, semua makhluk wajib membenarkan apa yang mereka bawa dan mereka ketengahkan itu.

Bahawasanya Allah swt telah mengutus seorang nabi yang ummi, tidak pandai membaca dan menulis, dari keturunan Quraisy, yakni Muhammad saw dengan  membawa risalah Tuhan kepada seluruh umat dari golongan bangsa Arab ataupun lainnya, dari golongan bangsa jin dan manusia. Allah telah menutup kerasulan dan kenabian itu dengan mengutus Baginda saw.


Jadi Baginda saw adalah rasul yang terakhir, sebagai seorang pemberi khabar gembira dan menakutkan, mengajak ke jalan yang benar dan agama Allah dengan izinNya dan juga sebagai pelita yang memberi cahaya. Allah menurunkan kitab suci yang penuh hikmat kepada rasulNya yang terakhir itu, dengan kitab itulah Allah menjelaskan agamaNya yang lurus dan mewajibkan semua makhlukNya untuk mempercayai segala yang dimuat di dalamnya.

Ahli sunnah mempercayai bahawasanya hari kiamat itu pasti datang dan tiada perlu diragukan lagi dan bahawasanya Allah akan menghidupkan segala sesuatu yang telah mati pada hari itu dan semuanya akan kembali sebagaimana keadaan asalnya. Allah telah menjadikan syurga dan disediakan sebagai tempat yang kekal untuk orang yang dikasihiNya dan mereka ini akan diberi kemuliaan di dalam syurga  dengan kurnia yang terbesar yakni dapat  melihat kepada wajahNya yang Maha Mulia. 
 

Selain itu Allah juga menjadikan neraka lalu disediakan sebagai tempat yang kekal untuk orang yang kafir kepadaNya, melawan serta membantah ayat-ayatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan golongan orang yang sedemikian ini dihalang dari nikmat melihat wajahNya yang Maha Mulia itu.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

Sunday, 7 July 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Akidah Ahli Sunnah Wal Jamah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Pendengaran serta penglihatanNya itu tidaklah sama dengan pendengaran atau penglihatan yang dimiliki oleh makhluk, sebagaimana zatNya juga tidak menyamai zat makhluk.

Allah Maha Berfirman, Pemberi Perintah dan Larangan, Pemberi Janji dan Ancaman. Al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur adalah kitab-kitab yang diturunkan olehNya kepada rasul-rasulNya saw dengan cara berfirman yang merupakan sifat zatNya dan bukan merupakan makhluk dari sekian makhluk-makhlukNya yang lain.


Bahawasanya Al-Quran adalah firman Allah yang bukan makhluk, sebab kalau makhluk, tentulah akan rosak dan hilang, bukan pula sifat dari makhluk, sebab kalau demikian tentu musnah. Bahawasanya Allah swt itu  Maha Esa, tiada sesuatu yang wujud selain Dia, kecuali pasti ianya terjadi dengan perbuatanNya, juga sebagai limpahan dari keadilanNya yang terbentuk atas dasar yang sebaik-baiknya, sempurna, lengkap  serta adil.


Dia adalah Tuhan yang Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Maka dari itu selain dari Allah, baik manusia, jin atau malaikat, mahupun langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda padat, yang dapat dilihat atau yang dapat dirasai, semuanya itu adalah benda-benda baru yang dicipta olehNya dengan kekuasaanNya, yakni yang dahulu tidak ada kemudian dijadikan ada, ditumbuhkan dari asalnya belum wujud lalu wujud, sebab sejak azali yang Maha Ada itu hanyalah Allah dan tidak ada yang lain. (....bersambung)

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.