Thursday 18 July 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Kita mesti mengatakan bahawa pemimpin yang termulia sesudah Rasulullah saw ialah Abu Bakar a.s. Siddiq r.a. dan bahawasanya Allah swt telah memuliakan agama ini dengannya, mengunggulkannya dari orang-orang yang murtad. Abu Bakar r.a. diakui oleh seluruh umat Islam dalam kepimpinan, sebagaimana Rasulullah saw sendiri mengangkatnya untuk menjadi imam dalam solat di waktu Baginda saw sakit. Kaum muslimin mengangkatnya sebagai khalifah atau pengganti Rasulullah saw kemudian Umar bin Khattab r.a. dan selepasnya Othman bib Affan r.a.

Sesungguhnya oarang-orang yang membunuh Othman r.a. itu adalah atas dasar penganiayaan dan derhaka. Setelah kewafatannya, maka Ali bin Abu Talib r.a. yang menjadi khalifah. Keempat-empat khalifah itu merupakan imam-imam sepeninggalan Rasulullah saw dan kekhalifahan sahabat-sahabat Baginda adalah merupakan pengganti kenabian. Kita mencintai sahabat-sahabat Rasulullah saw yang lain-lain dan tidak perlu kita mengungkit-ungkit perselisihan yang pernah timbul antara mereka.

Selain itu segala perselisihan yang berlaku di antara kita wajiblah kita kembalikan dan kita selidik kepada kitabullah Al-Quran , sunnah Rasulullah saw juga ijmak atau persepakatan kaum muslimin dan apa-apa yang seerti dengannya. Kita tidak boleh mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kita yakni perkara-perkara yang tidak diizinkan kepada kita untuk mengadakannya, juga tidak boleh menggunakan nama Allah terhadap sesuatu yang kita tidak ketahui.

Kita juga mengetahui bahawa bersedekah untuk kaum muslimin yang telah meninggal dunia ataupun mendoakan kepada mereka itu membawa manfaat dan bahawasanya Allah akan memberikan kemanfaatan itu kepada mereka dengan sebab sedekah atau doa yang kita lakukan itu. Kita mengatakan bahawa orang-orang yang saleh memperolehi kelebihan daripada Allah swt dengan tanda-tanda yang diperlihatkan olehNya kepada mereka itu.
 
Imam Ahmad berkata: "Segala kebaikan itu sampai kepada orang yang telah mati, dengan berdasarkan beberapa nas yang ada mengenai perkara itu, juga dengan sebab seluruh muslimin di semua negeri telah bersepakat mengenainya. Mereka itu membacakan sesuatu lalu mereka hadiahkan kepada saudara-saudara mereka yang telah meninggal dunia. Dan tidak ada di kalangan mereka mengingkarinya, maka ini bolehlah dianggap sebagai ijmak."

(Sekian sahaja perbincangan tajuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah)

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

No comments:

Post a Comment