Thursday, 11 July 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Maka Allah mengadakan makhluk sesudah itu, sebagai tanda dan bukti kekuasaanNya, juga untuk merealisasikan segala sesuatu yang telah dikehendaki olehNya, juga kerana sebagai kebenaran kalimatNya sejak azali lagi. Segala sesuatu itu dicipta, bukan kerana Allah memerlukan atau berhajat kepadanya.

Dia memberikan keutamaan kepada makhluk dengan menciptanya serta membebaninya, ini bukanlah sebab Allah berkewajipan melakukan sedemikian. Allah sentiasa mengurniakan nikmat dan kebaikan dan bukan kewajipan Allah untuk berbuat demikian itu. Bagi Allah adalah keutamaan dan kebaikan, nikmat dan kurnia.

Allah swt memberi pahala kepada hamba-hambaNya yang mukmin sebab kebaikan yang dilakukannya dan pemberian pahala ini adalah atas dasar kemurahan, kemuliaan dan telah dijanjikan, bukan sekali-kali kerana dasar Allah berkewajipan melakukan perkara itu, sebab tidak ada seorang pun yang dapat mewajibkan sesuatu padaNya untuk dilakukan dan tidak tergambar sedikit pun suatu penganiayaan yang datang daripadaNya.
Demikian pula tidak ada suatu hak yang merupakan kewajipan untukNya terhadap seseorang, sebab hakNya untuk ditaati adalah merupakan kewajipan atas seluruh makhluk. Kewajipan ini disampaikan dengan penjelasan para nabiNya a.s. bukan hanya sekadar dengan kemahuan akal fikiran. Untuk urusan ini, Allah mengutuskan para rasul dan diberikan bukti kebenaran mereka dengan berbagai mukjizat yang nyata.

 Para rasul itulah yang menyampaikan kepada umatnya apa-apa yag menjadi perintah Allah, laranganNya, janji serta ancamanNya. Oleh kerana itu, semua makhluk wajib membenarkan apa yang mereka bawa dan mereka ketengahkan itu.

Bahawasanya Allah swt telah mengutus seorang nabi yang ummi, tidak pandai membaca dan menulis, dari keturunan Quraisy, yakni Muhammad saw dengan  membawa risalah Tuhan kepada seluruh umat dari golongan bangsa Arab ataupun lainnya, dari golongan bangsa jin dan manusia. Allah telah menutup kerasulan dan kenabian itu dengan mengutus Baginda saw.


Jadi Baginda saw adalah rasul yang terakhir, sebagai seorang pemberi khabar gembira dan menakutkan, mengajak ke jalan yang benar dan agama Allah dengan izinNya dan juga sebagai pelita yang memberi cahaya. Allah menurunkan kitab suci yang penuh hikmat kepada rasulNya yang terakhir itu, dengan kitab itulah Allah menjelaskan agamaNya yang lurus dan mewajibkan semua makhlukNya untuk mempercayai segala yang dimuat di dalamnya.

Ahli sunnah mempercayai bahawasanya hari kiamat itu pasti datang dan tiada perlu diragukan lagi dan bahawasanya Allah akan menghidupkan segala sesuatu yang telah mati pada hari itu dan semuanya akan kembali sebagaimana keadaan asalnya. Allah telah menjadikan syurga dan disediakan sebagai tempat yang kekal untuk orang yang dikasihiNya dan mereka ini akan diberi kemuliaan di dalam syurga  dengan kurnia yang terbesar yakni dapat  melihat kepada wajahNya yang Maha Mulia. 
 

Selain itu Allah juga menjadikan neraka lalu disediakan sebagai tempat yang kekal untuk orang yang kafir kepadaNya, melawan serta membantah ayat-ayatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan golongan orang yang sedemikian ini dihalang dari nikmat melihat wajahNya yang Maha Mulia itu.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

No comments:

Post a Comment