Thursday, 25 April 2013

Sinar Jumaat: Sifat-sifat Yang Diperlukan Dalam Memilih Sahabat

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Perlu kita ketahui tidak semua orang boleh dijadikan sahabat. Dalam perkara ini Rasulullah saw bersabda:

Ertinya:
"Seseorang itu menurut agama (jalan) kekasihnya, maka oleh sebab itu hendaklah kamu semua meneliti orang yang digaulinya."
                    (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi)

  Oleh sebab itu sahabat yang hendak dipilih mestilah memiliki keistimewaan sifat-sifat yang baik dan disenangi untuk dijadikan sahabat. Pada dasarnya sifat-sifat itu ialah akal yang baik, berbudi pekerti, bukan termasuk golongan orang fasik dan bukan pula seorang yang sangat tamak dalam perkara keduniaan.

Perihal akal, ianya memang merupakan modal atau asas dalam kehidupan, sebab inilah yang  pertama sekali wajib diperhatikan untuk memilih sahabat. Bukankah tiada gunanya bersahabat dengan orang yang tamak atau kurang berakal, sebab ianya akan membawa perasaan yang tidak selesa dan perselisihan pendapat semata-mata, sekalipun persahabatan itu telah lama terjalin. Ada seseorang yang berkata bahawa memutuskan persahabatan dengan seseorang yang kurang akalnya itu adalah sebagai suatu  pengorbanan kepada Allah swt.


Perihal kebaikan budi pekerti mestilah menjadi perhatiannya, sebab barangsiapa yang jiwanya dapat dikalahkan oleh nafsu marah, syahwat, bakhil, pengecut atau penakut apalagi kalau hawa nafsu yang buruk itu sentiasa diturutkan, maka sama sekali tidak ada faedahnya bersahabat dengan manusia yang sedemikian.

Perihal orang fasik yang berterusan di dalam kefasikannya, maka mereka tidak layak untuk dijadikan sahabat, bahkan menyaksikan mereka, menimbulkan rasa acuh tak acuh dalam urusan kemaksiatan dan dapat melenyapkan jiwa yang benci kepada kemaksiatan. Lagipun seseorang yang tidak ada rasa takut kepada Allah swt itu mungkin akan melakukan penipuan atau kecurangan terhadap sahabatnya, juga tidak tetap persahabatannya, malahan sebaliknya yakni berubah-ubah pendiriannya kerana mengikut tujuan dan kehendaknya sebab ianya hanya menjurus kepada kepentingannya sendiri.

Dalam perkara ini Allah swt telah mengingatkan kepada kita dengan firmanNya:

Ertinya:
"Dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mamatuhi pengajaran Kami di dalam Al Quran, serta ia menurut hawa nafsunya."
                                                                                                                  (Al-Kahfi: 28)

Lagi firmanNya:

Ertinya:
"Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata,"
                                                                                       (An-Najm: 29)

Sementara itu Allah swt menganjurkan untuk bersahabat dengan seseorang yang dihuraikan dalam firmanNya:

Ertinya:
"Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal soleh)."
   (Luqman: 15)

Isi yang tersirat dan yang dapat difahami dari ayat-ayat di atas ialah merupakan larangan atau ancaman untuk orang fasik atau mereka yang bersahabat dengannya.



'Alqamah pernah memberikan wasiat kepada puteranya dan ia berkata: "Wahai anakku, jikalau engkau merasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini, iaitu jikalau engkau melayaninya, ia suka melindungimu, jikalau engkau bersahabat dengannya, ia akan merupakan hiasan bagi dirimu dan jikalau engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia mencukupi keperluanmu.

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan dari dirimu, ia suka menghitungnya dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jikalau ia mengetahui keburukan dari dirimu, ia menutupnya.

Pilihlah sahabat yang jika engkau meminta sesuatu daripadanya pasti ia beri, jikalau engkau diam, ia menyapamu dahulu dan jikalau ada suatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, ia membantu dan meringankan serta menghiburmu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata-kata, ia membenarkan ucapanmu dan selalu mempercayainya, jikalau engkau menghadapi sesuatu persoalan yang berat, ia membantumu menghadapinya, dan jikalau engkau berselisih faham dengannya, ia mengalah untuk kepentinganmu."

Saidina Ali r.a. berkata: "Saudaramu yang sebenar-benarnya ialah orang yang ada disampingmu. Ia suka menerjunkan dirinya dalam bahaya demi untuk kemanfaatanmu."

Itulah sahabatmu yang jikalau engkau dalam keadaan bimbang, ia selalu menjelaskan yang sebenarnya kepadamu. Ia berkorban mencurahkan tenaga dan kekuatannya untuk dapat bersama denganmu."


Abu Sulaiman Darami rahimahullah berkata: "Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu dari dua orang ini. Pertama ialah orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang yang apabila engkau bersahabat dengannya, engkau dapat menambah kemanfaatan dirimu dalam urusan akhiratmu. Jikalau engkau suka bersahabat dengan orang selain dua orang di atas itu, maka pastilah itu merupakan kedegilan dan kebodohanmu yang luarbiasa besarnya,"

Perlu diketahui sebagai penutup bahawa jangan sekali-kali memilih seseorang yang sangat tamak kepada dunia, sebab bersahabat dengannya itu adalah seumpama bermain dengan racun yang dapat membunuh diri, yang tidak mustahil akan ditelannya juga. Sebabnya demikian itu ialah kerana watak manusia itu suka meniru dan menyesuaikan dirinya dengan sesuatu yang sentiasa dilihatnya.

Bahkan tabiat manusia itu meniru tabiat orang lain tanpa disedari oleh pemiliknya sendiri.

Oleh sebab itu menjalinkan persahabatan dengan orang yang tamak kepada dunia menyebabkan hati kita menjadi tamak, dan sebaliknya menjalinkan persahabatan dengan seseorang yang zuhud terhadap dunia, akan menyebabkan zuhudnya hati kita. Maka itu dimakruhkan merapati, para pencari dan pencinta dunia dan dituntut merapati bersahabat dengan para alim ulama dan para ahli hikmat dan bijaksana.

Luqman pernah memberi nasihat dan puteranya dan berkata: "Hai anakku, duduklah rapat-rapat dengan para alim ulama, eratkanlah dirimu dengan kedua lututnya, sebab hati nurani itu hidup dengan adanya hikmat sebagaimana hidupnya bumi yang mati disebabkan hujan yang lebat."


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.  


BORANG JAWATAN KOSONG

Borang berikut boleh dicetak untuk permohonan apa-apa jawatan kosong yang diiklankan oleh pihak MAFIST.



Kursus Intensif Bacalah Anakku


Assalamualaikum wbt

Pihak sekolah telah menganjurkan Kursus Intensif Bacalah Anakku pada hari Ahad, 24 Mac 2013. Ia bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Seramai 30 orang ibubapa/penjaga pelajar TAFIST (tadika) telah mengikuti kursus tersebut. Pembimbing kursus ialah Pn. Noraini. Beliau seorang yang sangat berpengalaman membimbing kursus Bacalah Anakku kepada guru-guru dan ibubapa pelajar.

Tujuan kursus ini diadakan ialah supaya ibubapa memahami kaedah cepat membaca Bacalah Anakku dan dapat membantu anak-anak menggunakan kaedah tersebut di rumah.

Buku Bacalah Anakku digunakan pihak sekolah untuk membolehkan pelajar-pelajar tadika cepat membaca. Ia menggunakan kaedah fonetik.
Kami mendapati kaedah tersebut berkesan. Ramai pelajar kami telah dapat membaca dalam usia 5 tahun.

Berikut ialah foto-foto sepanjang program tersebut berlangsung.











Friday, 19 April 2013

Sinar Jumaat: Penerangan Percakapan Dan Ketawa Rasulullah saw

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Rasulullah saw adalah sefasih-fasih manusia dalam percakapan dan manusia yang paling manis perkataannya. Bahkan Baginda saw menjelaskan perkara itu dan bersabda:

Ertinya:
" Saya adalah sefasih-fasih bangsa Arab."
                              (Diriwayatkan oleh Thabrani)

Dalam berkata-kata Baginda saw sentiasa menggunakan jawami'ul kalim yakni kalimat yang ringkas, tetapi padat isinya. Percakapannya tidak dilebihkan atau dikurangkan, bagi mereka yang mendengarnya akan mudah mengingati dan menghafalnya. Suaranya cukup kuat dan amat indah nadanya.


Baginda saw tidak berbicara melainkan dalam perkara-perkara yang perlu sahaja. Rasulullah saw akan selalu berkata benar dalam setiap ketika sama ada ketika marah atau ketika gembira. Baginda saw juga akan mengingatkan orang yang kasar dalam perbicaraannya. Apabila sesuatu itu kurang sopan tetapi tidak boleh tidak mesti dikatakan, maka Baginda saw akan menggunakan kata-kata sindiran (kinayah).

Apabila Baginda saw selesai berbicara, barulah sahabatnya bercakap-cakap di antara mereka, tidak ada seorangpun yang berani melawan Baginda dalam percakapan dan Baginda saw memberi nasihat dan petunjuk dengan bersungguh-sungguh.


Rasulullah saw banyak tersenyum, banyak ketawa di hadapan sahabat-sahabatnya.  Kadang-kadang Baginda saw menampakkan kehairanan sewaktu sahabat-sahabatnya itu berbicara, bahkan kadang-kadang ikut sama dalam perbicaraan mereka. Dalam ketawa Baginda, kadang-kadang kelihatan giginya. Sahabat-sahabat Baginda saw itu apabila ada di hadapannya, mereka hanya tersenyum kerana mengikut sikap Rasulullah saw dan untuk menghormatinya. Apabila ada sesuatu bencana yang menimpa diri Baginda, Rasulullah saw selalu bertawakkal kepada Allah swt dan menyerahkan urusan itu kepadaNya dengan berdasarkan kepada Allah swt dan memohon agar diturunkan petunjuk kepadanya. Baginda saw mengucapkan:

Ertinya:
"Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, Maha Pencipta semua di langit dan di bumi, mengetahui segala yang ghaib dan yang jelas. Engkaulah yang menghukum antara sekalian hambaMu dalam apa sahaja yang mereka perselisihkan. Berilah saya petunjuk, mana yang hak (benar) dan apa yang diperselisihkan itu dengan izinMu, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus."
                                     (Diriwayatkan oleh Muslim)


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.                        

Thursday, 11 April 2013

Sinar Jumaat: Membina Akhlak Anak-anak

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Ketahuilah bahawa usaha untuk melatih anak-anak agar mereka memperolehi pendidikan yang baik serta akhlak yang mulia adalah termasuk antara perkara terpenting, wajib dilaksanakan dengan sebenar-benarnya dan tidak boleh dilalaikan sedikit pun.

Anak adalah amanat atau pinjaman yang diberikan  oleh Allah swt kepada kedua orang tuanya. Hati anak-anak yang masih suci itu merupakan suatu jauhar yang bernilai tinggi, yang penuh harapan memandangkan jiwanya yang masih kosong sama sekali. Hati anak itu bagaikan suatu kertas yang belum digores sedikit pun oleh tulisan atau apa jua corak.


Mereka menerima apa sahaja bentuk yang akan digoreskan, apa sahaja yang akan digambarkan di dalamnya, malahan ia akan cenderung kepada sesuatu yang diberikan kepadanya. Kecenderungan ini akan menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi kepercayaan.

Oleh sebab itu, apabila si anak tadi dibiasakan untuk mengamalkan apa-apa yang baik, diberi pendidikan ke arah itu, tentulah dia membesar bersama kebaikan tadi dan natijahnya mereka sentiasa mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kedua orang tuanya dan semua pendidik, pengajar serta pengasuhnya pun turut serta memperoleh pahala.

Sebaliknya jika anak itu sejak kecil lagi sudah dibiasakan dengan keburukan dan dibiarkan begitu sahaja tanpa menghiraukan pendidikan dan pengajarannya (seperti seseorang memelihara binatang), maka akibatnya anak itu akan celaka dan rosak binasa akhlaknya, dan dosanya tentulah dipikul oleh orang yang bertanggungjawab memelihara dan mengasuhnya. Dalam perkara ini Allah swt berfirman:

 Ertinya:
"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari seksaan api neraka."

Seorang ayah tentunya akan menjaga anaknya dengan rapi agar tidak disentuh oleh api dunia. Jika demikian, maka kewajipan memelihara anak agar tidak disentuh oleh api neraka di akhirat perlulah lebih diutamakan, lebih dipentingkan dan lebih diperhatikan.



Cara memeliharanya dari api akhirat ialah dengan memberikan didikan, ajaran dan latihan-latihan yang baik yang semuanya ditujukan untuk memperolehi budi pekerti yang bagus dan akhlak yang luhur. Ayah wajib menjaga anaknya agar tidak bergaul dengan kawan-kawan yang jahat, jangan dibiasakan dengan keseronokan, jangan pula diajar berhias dengan perkara yang tidak sepatutnya atau apa sahaja yang akan menimbulkan keborosan. Jika ini dilakukan, pastilah usia anak itu dihabiskan semata-mata untuk mencari kesenangan dan membuat boros sahaja, dengan demikian akan rosakkah jiwanya.


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.















Friday, 5 April 2013

Sinar Jumaat: Hakikat Sabar dan Bahagiannya

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Hakikat Sabar dan Bahagiannya

Sabar yang dimaksudkan dalam istilah agama Islam ialah teguh dan tahan menetapi pengaruh yang disebabkan oleh agama untuk menghadapi atau menentang pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu. Yang dimaksudkan dengan pengaruh agama ialah segala sesuatu yang dengannya itulah manusia akan memperolehi petunjuk ke jalan yang benar dan hak, baik yang berhubung dengan makrifat kepada Allah swt dan Rasulnya, ataupun makrifat tentang kemashlahatan yang erat hubungannya dengan akibat-akibat yang ditimbulkan oleh amalan soleh. Inilah yang merupakan sifat utama yang dapat membezakan antara manusia dengan binatang dalam mematahkan nafsu syahwat yang tidak wajar.

Adapun yang dimaksudkan dengan pengaruh hawa nafsu itu ialah melampiaskan segala jenis syahwat sesuai dengan apa yang dikehendaki olehnya. Maka dari itu, barangsiapa yang dapat mematahkannya, dan akan terus tetap untuk tidak menurut kehendak yang buruk, teguh pula jiwanya untuk melawan dan menentang syahwat tadi, jadi orang inilah yang dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang tabah, sabar dan teguh.

Sebaliknya jikalau ia merasa kalah, lemah dan dapat ditakluk bahkan sampai boleh dikalahkan oleh kehendak syahwat yang diperintah oleh hawa nafsunya, tidak sabar menghalau dan mengusirnya, tidak tahan melawan dan menentangnya, maka orang seperti inilah ang dimasukkan di dalam golongan pengikut syaitan.


Selanjutnya perlu disedari bahawa pertarungan antara pengaruh agama dengan pengaruh hawa nafsu itu ada tiga keadaan, iaitu:

Pertama: Pengaruh hawa nafsu dapat ditundukkan sama sekali, dipaksa untuk menyerah kalah sehingga tidak mempunyai kekuatan lagi untuk mengadakan perlawanan dan penentangan terhadap kekuatan pengaruh agama. Perkara ini dapat dicapai sehingga ke puncaknya yang tertinggi dengan jalan mengekalkan kesabaran dan keteguhan untuk terus mengalahkannya. Jikalau ini sudah diperolehi, di sinilah letaknya ketetapan ucapan:

Ertinya:
"Barangsiapa sabar pasti memperolehi (tujuannya)."

Sebenarnya, orang yang dapat mencapai peringkat ini adalah amat sedikit dan tentu sahaja ia termasuk dalam golongan kaum siddiqin yang sangat dekat jiwanya dengan Allah swt. Mereka ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam Al-Quran:

Ertinya:
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah." kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul."
                                                                                    (Fusilat: 30)

Kedua: Ini merupakan lawan daripada keadaan yang pertama, iaitu bahawa pengaruh hawa nafsulah yang menang dan benar-benar dapat menakluk pengaruh agama, sehingga pengaruh agama ini jatuh sama sekali, dan menyerah secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, pergolakan sudah berhenti dan selesai dengan kemenangan besar di pihak syaitan.

Maka pengaruh itu menyerahkan dirinya kepada tentera syaitan dan tidak berjuang sedikit pun. Orang-orang yang kalah seperti ini adalah orang-orang yang lalai dan ia merupakan sebahagian besar umat manusia.

Mereka benar-benar terpengaruh dangan syahwatnya yang salah. Nasib malang mereka sudah jelas dan mereka inilah yang merupakan musuh-musuh Allah, sekurang-kurangnya dengan hati yang tidak setuju dengan kebenaran. Merekalah yang dijelaskan sifatnya dalan firman Allah swt:

Ertinya:
"Mereka itulah yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat."
                                                                          (Al-Baqarah: 86)


Andaikan mereka ini orang yang berdagang, maka golongan kedua ini sangat rugi dan sedikit pun tidak memperolehi keuntungan.


Ketiga: Ini adalah keadaan pertengahan. Peperangan yang terjadi antara dua pasukan yakni pengaruh agama dan pengaruh hawa nafsu silih berganti. Kadang-kadang pengaruh agama menang, tetapi kadang-kadang sebaliknya.

Inilah yang termasuk dalam golongan orang-orang yang sedang berjuang, bukan orang-orang yang sudah mendapatkan kemenangan yang gilang-gemilang. Orsang-orang seperti di atas ini ialah orang-orang yang suka mencampurkan amalan baiknya dengan amalan buruknya. Semoga mereka ini akan diterima taubatnya oelh Allah swt.

Sesungguhnya orang yang tidak pernah berjuang melawan syahwatnya itu adalah diumpamakan seperti binatang, bahkan dapat dikatakan lebih sesat lagi. Sebabnya ialah binatang itu tidak diberi makrifat dan tidak pula mempunyai kekuasaan yang mana keduanya ini dapat digunakan sebagai asas perjuangannya untuk melawan  syahwat tadi. Sedangkan manusia itu sudah diberikan keduanya tetapi dibiarkan sahaja dan tidak dipakai sama sekali.

Membiarkan sahaja sudah merupakan suatu kekurangan dalam akalnya dan boleh dilihat jelas daripada perbuatannya. Sebenarnya, kesabaran itu mudah diamalkan apabila ketakwaan serta kekuatan kepercayaan sudah mendalam, berurat akar di dalam hati, terutamanya kepercayaan yang bersangkutan dengan kebaikan dan pahala  yang akan diterimanya di akhirat nanti.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.