Thursday, 11 April 2013

Sinar Jumaat: Membina Akhlak Anak-anak

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Ketahuilah bahawa usaha untuk melatih anak-anak agar mereka memperolehi pendidikan yang baik serta akhlak yang mulia adalah termasuk antara perkara terpenting, wajib dilaksanakan dengan sebenar-benarnya dan tidak boleh dilalaikan sedikit pun.

Anak adalah amanat atau pinjaman yang diberikan  oleh Allah swt kepada kedua orang tuanya. Hati anak-anak yang masih suci itu merupakan suatu jauhar yang bernilai tinggi, yang penuh harapan memandangkan jiwanya yang masih kosong sama sekali. Hati anak itu bagaikan suatu kertas yang belum digores sedikit pun oleh tulisan atau apa jua corak.


Mereka menerima apa sahaja bentuk yang akan digoreskan, apa sahaja yang akan digambarkan di dalamnya, malahan ia akan cenderung kepada sesuatu yang diberikan kepadanya. Kecenderungan ini akan menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi kepercayaan.

Oleh sebab itu, apabila si anak tadi dibiasakan untuk mengamalkan apa-apa yang baik, diberi pendidikan ke arah itu, tentulah dia membesar bersama kebaikan tadi dan natijahnya mereka sentiasa mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kedua orang tuanya dan semua pendidik, pengajar serta pengasuhnya pun turut serta memperoleh pahala.

Sebaliknya jika anak itu sejak kecil lagi sudah dibiasakan dengan keburukan dan dibiarkan begitu sahaja tanpa menghiraukan pendidikan dan pengajarannya (seperti seseorang memelihara binatang), maka akibatnya anak itu akan celaka dan rosak binasa akhlaknya, dan dosanya tentulah dipikul oleh orang yang bertanggungjawab memelihara dan mengasuhnya. Dalam perkara ini Allah swt berfirman:

 Ertinya:
"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari seksaan api neraka."

Seorang ayah tentunya akan menjaga anaknya dengan rapi agar tidak disentuh oleh api dunia. Jika demikian, maka kewajipan memelihara anak agar tidak disentuh oleh api neraka di akhirat perlulah lebih diutamakan, lebih dipentingkan dan lebih diperhatikan.



Cara memeliharanya dari api akhirat ialah dengan memberikan didikan, ajaran dan latihan-latihan yang baik yang semuanya ditujukan untuk memperolehi budi pekerti yang bagus dan akhlak yang luhur. Ayah wajib menjaga anaknya agar tidak bergaul dengan kawan-kawan yang jahat, jangan dibiasakan dengan keseronokan, jangan pula diajar berhias dengan perkara yang tidak sepatutnya atau apa sahaja yang akan menimbulkan keborosan. Jika ini dilakukan, pastilah usia anak itu dihabiskan semata-mata untuk mencari kesenangan dan membuat boros sahaja, dengan demikian akan rosakkah jiwanya.


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.















No comments:

Post a Comment