Friday, 5 April 2013

Sinar Jumaat: Hakikat Sabar dan Bahagiannya

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Hakikat Sabar dan Bahagiannya

Sabar yang dimaksudkan dalam istilah agama Islam ialah teguh dan tahan menetapi pengaruh yang disebabkan oleh agama untuk menghadapi atau menentang pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu. Yang dimaksudkan dengan pengaruh agama ialah segala sesuatu yang dengannya itulah manusia akan memperolehi petunjuk ke jalan yang benar dan hak, baik yang berhubung dengan makrifat kepada Allah swt dan Rasulnya, ataupun makrifat tentang kemashlahatan yang erat hubungannya dengan akibat-akibat yang ditimbulkan oleh amalan soleh. Inilah yang merupakan sifat utama yang dapat membezakan antara manusia dengan binatang dalam mematahkan nafsu syahwat yang tidak wajar.

Adapun yang dimaksudkan dengan pengaruh hawa nafsu itu ialah melampiaskan segala jenis syahwat sesuai dengan apa yang dikehendaki olehnya. Maka dari itu, barangsiapa yang dapat mematahkannya, dan akan terus tetap untuk tidak menurut kehendak yang buruk, teguh pula jiwanya untuk melawan dan menentang syahwat tadi, jadi orang inilah yang dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang tabah, sabar dan teguh.

Sebaliknya jikalau ia merasa kalah, lemah dan dapat ditakluk bahkan sampai boleh dikalahkan oleh kehendak syahwat yang diperintah oleh hawa nafsunya, tidak sabar menghalau dan mengusirnya, tidak tahan melawan dan menentangnya, maka orang seperti inilah ang dimasukkan di dalam golongan pengikut syaitan.


Selanjutnya perlu disedari bahawa pertarungan antara pengaruh agama dengan pengaruh hawa nafsu itu ada tiga keadaan, iaitu:

Pertama: Pengaruh hawa nafsu dapat ditundukkan sama sekali, dipaksa untuk menyerah kalah sehingga tidak mempunyai kekuatan lagi untuk mengadakan perlawanan dan penentangan terhadap kekuatan pengaruh agama. Perkara ini dapat dicapai sehingga ke puncaknya yang tertinggi dengan jalan mengekalkan kesabaran dan keteguhan untuk terus mengalahkannya. Jikalau ini sudah diperolehi, di sinilah letaknya ketetapan ucapan:

Ertinya:
"Barangsiapa sabar pasti memperolehi (tujuannya)."

Sebenarnya, orang yang dapat mencapai peringkat ini adalah amat sedikit dan tentu sahaja ia termasuk dalam golongan kaum siddiqin yang sangat dekat jiwanya dengan Allah swt. Mereka ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam Al-Quran:

Ertinya:
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah." kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul."
                                                                                    (Fusilat: 30)

Kedua: Ini merupakan lawan daripada keadaan yang pertama, iaitu bahawa pengaruh hawa nafsulah yang menang dan benar-benar dapat menakluk pengaruh agama, sehingga pengaruh agama ini jatuh sama sekali, dan menyerah secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, pergolakan sudah berhenti dan selesai dengan kemenangan besar di pihak syaitan.

Maka pengaruh itu menyerahkan dirinya kepada tentera syaitan dan tidak berjuang sedikit pun. Orang-orang yang kalah seperti ini adalah orang-orang yang lalai dan ia merupakan sebahagian besar umat manusia.

Mereka benar-benar terpengaruh dangan syahwatnya yang salah. Nasib malang mereka sudah jelas dan mereka inilah yang merupakan musuh-musuh Allah, sekurang-kurangnya dengan hati yang tidak setuju dengan kebenaran. Merekalah yang dijelaskan sifatnya dalan firman Allah swt:

Ertinya:
"Mereka itulah yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat."
                                                                          (Al-Baqarah: 86)


Andaikan mereka ini orang yang berdagang, maka golongan kedua ini sangat rugi dan sedikit pun tidak memperolehi keuntungan.


Ketiga: Ini adalah keadaan pertengahan. Peperangan yang terjadi antara dua pasukan yakni pengaruh agama dan pengaruh hawa nafsu silih berganti. Kadang-kadang pengaruh agama menang, tetapi kadang-kadang sebaliknya.

Inilah yang termasuk dalam golongan orang-orang yang sedang berjuang, bukan orang-orang yang sudah mendapatkan kemenangan yang gilang-gemilang. Orsang-orang seperti di atas ini ialah orang-orang yang suka mencampurkan amalan baiknya dengan amalan buruknya. Semoga mereka ini akan diterima taubatnya oelh Allah swt.

Sesungguhnya orang yang tidak pernah berjuang melawan syahwatnya itu adalah diumpamakan seperti binatang, bahkan dapat dikatakan lebih sesat lagi. Sebabnya ialah binatang itu tidak diberi makrifat dan tidak pula mempunyai kekuasaan yang mana keduanya ini dapat digunakan sebagai asas perjuangannya untuk melawan  syahwat tadi. Sedangkan manusia itu sudah diberikan keduanya tetapi dibiarkan sahaja dan tidak dipakai sama sekali.

Membiarkan sahaja sudah merupakan suatu kekurangan dalam akalnya dan boleh dilihat jelas daripada perbuatannya. Sebenarnya, kesabaran itu mudah diamalkan apabila ketakwaan serta kekuatan kepercayaan sudah mendalam, berurat akar di dalam hati, terutamanya kepercayaan yang bersangkutan dengan kebaikan dan pahala  yang akan diterimanya di akhirat nanti.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.


 




No comments:

Post a Comment