Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi
Rasulullah saw adalah sefasih-fasih manusia dalam percakapan dan manusia yang paling manis perkataannya. Bahkan Baginda saw menjelaskan perkara itu dan bersabda:
Ertinya:
" Saya adalah sefasih-fasih bangsa Arab."
(Diriwayatkan oleh Thabrani)
Dalam berkata-kata Baginda saw sentiasa menggunakan jawami'ul kalim yakni kalimat yang ringkas, tetapi padat isinya. Percakapannya tidak dilebihkan atau dikurangkan, bagi mereka yang mendengarnya akan mudah mengingati dan menghafalnya. Suaranya cukup kuat dan amat indah nadanya.
Baginda saw tidak berbicara melainkan dalam perkara-perkara yang perlu sahaja. Rasulullah saw akan selalu berkata benar dalam setiap ketika sama ada ketika marah atau ketika gembira. Baginda saw juga akan mengingatkan orang yang kasar dalam perbicaraannya. Apabila sesuatu itu kurang sopan tetapi tidak boleh tidak mesti dikatakan, maka Baginda saw akan menggunakan kata-kata sindiran (kinayah).
Apabila Baginda saw selesai berbicara, barulah sahabatnya bercakap-cakap di antara mereka, tidak ada seorangpun yang berani melawan Baginda dalam percakapan dan Baginda saw memberi nasihat dan petunjuk dengan bersungguh-sungguh.
Rasulullah saw banyak tersenyum, banyak ketawa di hadapan sahabat-sahabatnya. Kadang-kadang Baginda saw menampakkan kehairanan sewaktu sahabat-sahabatnya itu berbicara, bahkan kadang-kadang ikut sama dalam perbicaraan mereka. Dalam ketawa Baginda, kadang-kadang kelihatan giginya. Sahabat-sahabat Baginda saw itu apabila ada di hadapannya, mereka hanya tersenyum kerana mengikut sikap Rasulullah saw dan untuk menghormatinya. Apabila ada sesuatu bencana yang menimpa diri Baginda, Rasulullah saw selalu bertawakkal kepada Allah swt dan menyerahkan urusan itu kepadaNya dengan berdasarkan kepada Allah swt dan memohon agar diturunkan petunjuk kepadanya. Baginda saw mengucapkan:
Ertinya:
"Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, Maha Pencipta semua di langit dan di bumi, mengetahui segala yang ghaib dan yang jelas. Engkaulah yang menghukum antara sekalian hambaMu dalam apa sahaja yang mereka perselisihkan. Berilah saya petunjuk, mana yang hak (benar) dan apa yang diperselisihkan itu dengan izinMu, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus."
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.
No comments:
Post a Comment