Thursday, 27 June 2013

Sinar Jumaat: Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Kepercayaan ahli sunnah mengenai zat Allah swt yang Maha Suci  ialah bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, Maha Dahulu yang tiada permulaanNya, kekal wujudNya yang tiada penghabisan. Dia adalah Maha Abadi, tiada penghabisanNya, Maha Kekal, tiada binasa sama sekali. Dia tidak akan hilang dan tidak akan lenyap, bersifat dengan segala sifat keagungan. Tidak akan musnah atau terputus sekalipun dengan berlalunya waktu.

Bahkan Allah adalah Maha Dahulu dan Maha Akhir. Maha Zahir dan Maha Batin. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia bukanlah suatu benda yang dapat digambarkan. Dia tidak menyamai segala yang wujud dan tidak suatu pun benda yang wujud menyerupai sifatNya. Dia tidak dibatasi oleh penjuru atau arah, tidak pula di dalam lingkungan bumi atau langit. Dia " beristiwa' " di atas arays sebagaimana yang difirmankan olehNya dan dengan pengertian yang dikehendakiNya.
 
  Dia ada di atas arasy dan langit, bahkan di atas segala sesuatu sehinggakan ke dasar tanah dan di batas bumi dan ketinggiannya itu tidak menambah jaraknya dengan arasy atau langit, sebagaimana juga tidak menambah jaraknya dari bumi dan tanah. Bahkan Dia Maha Tinggi darjatNya dari arasy dan langit, sebagaimana juga Maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah. Sekalipun demikian, Dia tetap Maha Dekat dengan segala apa yang wujud, Dia lebih dekat dengan hambaNya, daripada hamba itu dengan urat lehernya sendiri, sebab kedekatanNya itu tidaklah sama dengan dekatnya benda, sebagaimana juga Zatnya itu tidak sama dengan segala makhluk dan benda.


Dia tidak bertempat di suatu benda dan tidak sesuatu benda pun yang bertempat dalam Zatnya. Maha Suci Allah daripada dilingkungi sesuatu tempat, sebagaimana Maha Suci Dia daripada dibatasi oleh masa, bahkan Dia telah ada sebelum terciptanya zaman dan tempat dan sampai sekarang ini pun masih tetap dalam keadaanNya sebagaimana dahulu.


Zatnya dapat diketahui dengan menggunakan akal fikiran, bahkan dapat dikenali dengan penglihatan semasa di syurga nanti. Perkara ini merupakan suatu nikmat daripadaNya serta belas kasihan untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, juga sebagai penyempurnaan nikmat yang dikurniakanNya yakni dengan menyaksikan sendiri wajahNya yang Maha Mulia.

Dia adalah Tuhan yang Maha Luhur, Maha Hidup, Pemaksa, Pemberi Balasan, yang tidak dihinggapi sifat lalai serta lemah, tidak mengantuk ataupun tidur, juga tidak rosak atau mati. Dia adalah Maha Satu dan Sendiri dalam mencipta dan membuat segala yang baru, Maha Esa dalam menjadikan dan membentuk.

Dia Maha Mengetahui segala sesuatu, meliputi segala perkara atau peristiwa yang terjadi, mulai dari dasar tanah hingga ke  puncak langit, tidak terhalang daripda penglihatanNya sekalipun seberat debu yang ada di bumi ataupun di langit, bahkan Dia mengetahui gerakan seekor semut  hitam di waktu malam yang kelam yang berjalan di atas batu licin yang berwarna hitam.


Dia mengetahui bagaimana gerakan sebutir debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia Maha Mengetahui segala yang dirahsiakan atau disembunyikan. Mengetahui apa-apa yang terlintas di dalam kalbu, apa-apa yang tergerak dalam ingatan ataupun rahsia yang disembunyikan. Semuanya itu dimaklumiNya dengan sifat ilmuNya yang dahulu sejak azali. Sifat yang sedemikian ini telah dimilikinya olehNya dari azali.
 
  Allah adalah Maha Menghendaki terhadap segala benda yang wujud, Maha Pengatur segala yang terjadi, maka tidak sesuatu pun yang berlaku dalam kerajaan dan pemerintahanNya, melainkan semuanya itu pasti sebab ditetapkan dan qadak dan takdirNya, dengan kebijaksanaan dan kemahuanNya.

Oleh sebab itu, apa sahaja yang dikehendakiNya tentu terlaksana dan apa yang tidak dikehendakiNya tentu tidak dapat terlaksana dan tidak ada yang dapat mengahalang keputusan yang ditetapkan olehNya. Tidak suatu makhluk pun yang dapat menyalahkan hukumanNya.

Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tiada suatu pun yang terhalang dari pendengaranNya, sekalipun halus, tiada satupun yang terhalang dari penglihatanNya, sekalipun amat kecil. PendengaranNya tidak terbatas dengan jarak yang jauh dan penglihatanNya tidak terbatas kerana ketiadaan cahaya atau gelap. (bersambung......)


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

No comments:

Post a Comment