Friday, 14 June 2013

Sinar Jumaat: (Sambungan) Hakikat Takbur dan Bahayanya

Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Damasqi

Bentuk takbur yang paling jahat ialah sifat takbur yang menyebabkan seseorang tidak suka menggunakan kemanfaatan sesuatu ilmu yang diterimanya, tidak suka menerima apa-apa yang hak dan benar dan tidak suka mengikut jalan yang benar itu. Ayat-ayat yang menyebutkan tentang bahaya sifat takbur serta keburukan orang-orang yang bersifat seperti itu banyak sekali.

Selanjutnya kita perlu memeriksa dengan teliti, dari manakah timbulnya sifat takbur atau kesombongan itu?

Sumber asasnya ialah kerana menganggap orang lain kecil, menganggap orang lain kurang atau tidak berharga sama sekali jika dibandingkan dengan dirinya sendiri serta anggapan hina pada orang itu. Sebaliknya dirinya sendiri dianggap amat mulia, terhormat dan melebihi orang lain dalam segala perkara. Rasulullah saw menjelaskan dua jenis sifat yang merupakan himpunan dari kesombongan, iaitu:

Ertinya:
" Takbur itu ialah menolak kebenaran dan menghina makhluk."
                           (Diriwayatkan oleh Muslim, Baihaki, Ahmad dan Tirmidzi)

Dalam hadis di atas disebutkan dua jenis keburukan yang menjadi dasar kesombongan, iaitu menolak atau enggan menerima serta mengikut apa yang benar, sedangkan yang kedua ialah menganggap hina, rendah dan kecil pada orang lain, padahal ia adalah sesama makhluk Allah, sesama hambaNya dan bahkan mungkin yang dihina itu sebenarnya lebih mulia dari dirinya sendiri.



Jelasnya ialah bahawa setiap orang yang menghina saudaranya sesama muslim, melihatnya dengan mata ejekan, menganggap dirinya lebih baik dari orang yang lain, suka menolak kebenaran, sedangkan ia telah mengetahui bahawa itulah sesungguhnya yang benar, maka jelaslah bahawa orang tersebut dihinggapi penyakit kesombongan dan mengabaikan hak-hak Allah swt, tidak mentaati apa yang diperintahkan olehNya serta melawan benar-benar pada Zat yang Maha Kuasa.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah. 

No comments:

Post a Comment