Disalin daripada kitab Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin daripada
Ihya' Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin
Al-Qasimi Ad-Damasqi
Ketahuilah bahawa takbur itu terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Yang batin ialah yang merupakan pekerti di dalam hati.
Yang lahir ialah yang merupakan kelakuan-kelakuan yang keluar daripada anggota badan. Kelakuan-kelakuan ini banyak sekali bentuknya. Oleh kerana itu, sukar untuk dihitung dan diperinci satu persatu. Keburukan atau bahaya sifat takbur itu amat besar sekali bahkan kerosakan yang diakibatkan olehnya juga sangat luar biasa hebatnya. Bagaimana tidak besar bahayanya, sedangkan Rasulullah saw sendiri pernah bersabda:
Ertinya:
"Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat debu daripada sifat takbur,"
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Bayangkan, mengapa sifat takbur itu dapat menjadi tabir atau penghalang antara seseorang yang memilikinya dengan syurga. Sebabnya ialah tidak lain kerana takbur merupakan batas pemisah antara seseorang dengan akhlak dan budi pekerti kaum mukmin seluruhnya. Akhlak serta budi pekerti yang baik adalah merupakan pintu-pintu syurga, sedangkan takbur itu sendiri yang menyebabkan pintu-pintu tersebut tertutup. Takbur adalah merasa diri tinggi melebihi orang lain.
Selain itu seseorang yang takbur pasti tidak mempunyai perasaan cinta sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana cintanya pada dirinya sendiri. Oleh itu juga tidak bersifat tawaduk atau merendahkan diri dengan sewajarnya seperti yang diperintahkan oleh agama. Sedangkan tawaduk adalah merupakan asas dari segala akhlak orang-orang yang bertakwa kepada Allah swt.
Orang yang bersifat takbur juga tidak dapat meninggalkan sifat dendam dan tidak dapat pula terus menerus dipercayai, baik perbuatan atau pun ucapan. Ia juga tidak dapat memberi nasihat yang baik, berbuat secara jujur bahkan, tidak pula dapat diberi nasihat atau diperlakukan secara baik dan jujur.
Ia sukar meninggalkan kemarahan, Sukar menahan amarahnya, sukar pula untuk menghilangkan kedengkian dari dalam hatinya, juga tidak dapat menghindarkan diri daripada kegemaran mengejek orang lain atau kesukaan mengumpat.
Asasnya ialah bahawa tidak ada suatu budi pekerti yang buruk yang tidak dimiliki oleh orang-orang yang sombong itu. Ia terpaksa menggunakan semua yang buruk itu, demi menjaga kemuliaannya. Jadi, orang yang merasa dirinya amat mulia dan bersifat takbur, pasti memiliki sifat-sifat yang jahat itu.
Tetapi sebaliknya segala budi pekerti yang baik, sudah pasti ia tidak mampu melaksanakannya, sebab takut jikalau akan lenyap kemuliaannya. Oleh sebab yang demikian itu, maka ia sama sekali sukar untuk memasuki syurga, sekalipun takbur yang dimilikinya itu hanyalah seberat debu atau seberat biji sawi yang amat kecil sekali. Bersambung, InsyaAllah.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Siru ala barakatillah.
No comments:
Post a Comment